Sebagai mana dijelaskan oleh para ulama feqh berdasarkan
hadis-hadis Rasulullah SAW bahawa waktu-waktu tertentu yang ditegah melakukan
sembahyang adalah seperti berikut:
1. Bermula dari terbit matahari sehingga matahari naik
tinggi kira-kira kadar satu tombak. Satu tombak itu adalah kira-kira kadarnya
tujuh hasta paras ketinggian orang biasa dan satu hasta pula ialah kira-kira
menyemai dengan lapan belas inci.
2. Waktu Istiwa iaitu waktu matahari berada di tengah-tengah langit sehingga
gelincir matahari atau condong ke bawah. (Kecuali waktu istiwa pada hari
Jumaat)
3. Waktu ketika matahari berwarna kekuning-kuningan sehingga tenggelam
keseluruhan bulatan matahari itu di ufuk.
4. Selepas sembahyang fardhu Subuh iaitu bagi orang yang
telah menunaikan sembahyang Subuh sehingga terbit matahari.
5. Selepas sembahyang fardhu ‘Asar sehingga terbenamnya matahari.
HIKMAH PENGHARAMAN SOLAT PADA WAKTU BERKENAAN
Waktu ketika matahari terbit, maka terbitnya matahari itu
adalah di antara dua tanduk syaitan, lalu orang kafir bersembahyang untuknya.
Waktu ketika matahari tegak (rembang) pula, ketika itulah neraka Jahannam
dimarakkan dan pintu-pintunya dibuka dan waktu ketika matahari hendak terbenam,
maka terbenamnya matahari itu adalah di antara dua tanduk syaitan maka orang
kafir bersembahyang untuknya. Perkara ini ada dijelaskan di dalam hadis-hadis
Nabi SAW antaranya hadis daripada Abdullah ash-Shunabiji bahawa Rasulullah SAW
bersabda yang maksudnya :
“Ketika matahari terbit akan disertai oleh syaitan. Jika matahari telah naik,
maka syaitan akan meninggalkannya. Apabila matahari tepat berada di
tengah (waktu istiwa) maka syaitan akan menyertainya, tetapi jika matahari
telah gelincir, maka syaitan akan menjauhinya. Apabila matahari hampir terbenam
pula, maka syaitan akan menyertainya dan jika matahari telah terbenam, maka
syaitan akan menjauhinya. Di waktu-waktu itulah Rasulullah SAW melarang
seseorang mengerjakan sembahyang”
WAKTU LAIN YANG DITEGAH UNTUK MENDIRIKAN SOLAT
1.Ketika hendak mendirikan sembahyang fardhu.
Makruh memulakan sembahyang sunat selepas bilal
memulakan iqamah sembahyang, sama ada sembahyang itu sembahyang sunat rawatib,
seperti sembahyang sunat Subuh, Zuhur dan lain-lain. Sama ada dia meyakini yang
dia akan sempat mendapat satu rakaat bersama-sama imam atau tidak.
2.Ketika Khatib Berada Di Atas Mimbar
Sebaik saja imam duduk di atas mimbar, maka ditegah dan dilarang daripada
melakukan sembahyang. Tegahan ini adalah khusus kepada mereka yang telah sedia
ada hadir di masjid sedang imam telahpun duduk di atas mimbar.
PENGECUALIAN LARANGAN BERSOLAT PADA HARI/KEADAAN INI.
1. Hari Jumaat
Sebagaimana yang telah dijelaskan terdahulu bahawa mengerjakan sembahyang
ketika matahari tegak (rembang) adalah makruh tahrim. Bagaimanapun ia
dikecualikan pada hari Jumaat. Perkara ini dijelaskan di dalam sebuah hadis
daripada Qatadah daripada Nabi SAW, katanya yang maksudnya:
“Bahawasanya Baginda membenci sembahyang pada tengahari (rembang) kecuali pada
hari Jumaat, dan Baginda bersabda: “Sesunguhnya neraka Jahannam dimarakkan
(pada saat itu) melainkan pada hari Jumaat”.
2. Tanah Haram Mekah
Mengerjakan apa saja jenis sembahyang di tanah suci Mekah adalah diharuskan
tanpa mengira sebarang waktu sekalipun pada waktu yang terlarang. Pendapat ini
adalah yang shahih di dalam mazhab Syafi‘ie dan disokong dengan hadis
Rasulullah SAW, sabda Baginda yang maksudnya :
“Wahai Bani Abdi Manaf, jangan kamu melarang seseorang tawaf di rumah ini
(Baitullah) dan bersembahyang pada bila-bila waktu yang dia sukai, malam atau
siang”
