1.
Semasa suami bercakap hendaklah
isteri diam mendengarnya dan jangan suka menyampuk atau memotong
cakapnya.
2.
Bila suami marah hendaklah isteri
mendiamkan diri. Sikap suka menjawab, bertekak dan menegakkan kebenaran sendiri
akan menambahkan lagi kemarahan suami. Jangan terkejut jika suami angkat kaki
meninggalkan rumah berhari-hari atau tidak mahu bertegur sapa dengan anda
sebagai denda di atas kedegilan anda sebagai isteri. Sebaliknya, kalau suami kembali ke rumah jangan disambung atau diulang-ulangi cerita
lama. Sambutlah suami dengan senyuman kasih sayang dan bersegeralah meminta
maaf. Jangan kita tunggu suami meminta maaf dengan isteri, jatuhlah martabat
keegoannya selaku seorang lelaki.
3.
Air minum suami hendaklah sentiasa
disiapkan jangan sampai dia minta biarpun sekadar air masak sejuk.
Sebaik-baiknya sediakanlah minuman panas seperti kopi, teh atau susu. Air panas
elok disimpan di dalam termos supaya memudah dan menjimatkan masa kita. Kalau
boleh sediakan kuih-kuih ringan seperti karipap, cucur, bubur,apam ataupun
biskut kering. Hal ini juga dapat mengelak anak-anak dari membeli makanan
ringan di kedai yang tidak mengandungi zat di samping tidak terjamin
kebersihannya.
4.
Sentiasa berada di dalam keadaan
bersih dan kemas ketika suami berada di rumah. Isteri hendaklah berada di dalam
keadaan berwangi-wangian supaya hatinya senang untuk bersenda gurau dengan
isterinya. Ketahuilah bahawa bersenda gurau antara suami isteri juga merupakan
salah satu ibadah yang diredhai oleh Allah swt.
5.
Jika dia berhajat sesuatu hendaklah
isteri cepat bertindak. Bangun segera bila disuruh. Jangan melengah-lengahkan
kemahuannya supaya tidak mencetuskan kemarahan atau rasa tersinggung dihatinya.
Jangan isteri buat acuh tak acuh, hatinya akan kecewa dan menandakan isteri
sudah tidak taat padanya.
Sabda
Rasulullah saw :
"Apabila
memanggil suami akan isterinya ke tempat tidur, tetapi ditolaknya sehingga
marahlah suaminya, maka akan tidurlah wanita itu di dalam laknat malaikat
sehingga ke pagi."
(Riwayat
Bukhari dan Muslim)
6.
Hendaklah memasak mengikut kesukaan
suami bukannya ikut selera isteri. Kalau suami suka makan gulai kari atau masak
lemak cili api, janganlah kita masak lauk asam pedas atau ikan goreng. Suami
akan gembira bila seleranya ditepati. Janganlah pula ikan yang menjadi mangsa,
diketuk lengkang-lengkung hingga hancur kerana meradangkan sikap suami yang
mahu lauk tersebut dimasak mengikut seleranya sedangkan isteri tidak
menggemarinya.
7.
Apabila pakaian suami koyak atau
tercabut butangnya hendaklah segera dijahit. Jahitlah dengan secantik yang
boleh supaya pakaian itu kelihatan cantik. Jangan dibuat sambil lewa kerana
jahitan tersebut akan melambangkan peribadi isteri samada ikhlas atau terpaksa.
Semua suami akan berasa bangga jika pakaiannya dijahit sendiri oleh jari-jemari
halus isterinya, sekurang-kurangnya dapat menampung ekonomi rumahtangga.
8.
Sentiasa sediakan barang-barang
keperluan di dalam poket baju dan seluar suami iaitu sikat, celak, cermin
kecil, minyak wangi dan kayu sugi. Tidak menjadi kesalahan seandainya si suami
menolak segala persediaan tersebut tetapi sekurang-kurangnya sediakanlah minyak
wangi dan kayu sugi..
9.
Bila bertembung kehendak suami dan
anak-anak,dahulukanlah kehendak suami, begitu juga dengan kehendak ibu ayah.
Sekiranya suami ingin dilayan hendaklah ditaati meskipun isteri berada di dalam
keadaan letih. Melayani suami merupakan satu pahala besar keatas setiap isteri
kecualilah jika suami kita meredhainya.
10. Apabila menggunakan harta suami ataupun duit yang hendak
kita hadiahkan kepada ibu bapa maka mintalah izin darinya terlebih dahulu.
Jangan beri dahulu kemudian baharu diberitahu kepadanya. Siapa tahu mungkin
wang itu amat diperlukan sedangkan isteri sewenang-wenangnya telah
menghadiahkan kepada orang lain, suami dapat pahala sedangkan isteri tidak
dapat apa-apa. Sebenarnya meminta izin itu ialah sebelum melakukan sesuatu
tindakan bukannya setelah perkara itu berlaku diberitahu. Ini silap sebenarnya
tapi kes-kes seperti inilah yang sering berlaku di kalangan para isteri.