Kelantan

Menarik Di Kelantan

Bazar Buluh Kubu (Bazar Batik)

Mengunjungi kompleks membeli-belah tiga tingkat ini menjadi kemestian bagi mereka yang gemar membeli-belah dan mengumpul barangan kraf. Di sini, pengunjung dapat memperoleh barangan kraf seperti kasut buatan tangan, replika alat muzik miniature, wau yang berwarna-warni, beg-beg, barangan perak yang cantik, aksesori dan pelbagai jenis barangan yang lain. Harga yang berpatutan di sini menjadikan bazar ini amat popular dikalangan penduduk tempatan dan juga pelancong luar.

Pasar Siti Khadijah

Nama asal Pasar Besar Siti Khadijah ialah Pasar Besar Buluh Kubu. Walau bagaimanapun iainya telah ditukar namanya kepada nama ini oleh Menteri Besar Kelantan iaitu Y.A.B Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat sebagai tanda penghormatan kepada kaum Hawa, memandangkan majoriti peniaganya terdiri daripada golongan wanita.Satu pemandangan yang unik di pasar-pasar di Kelantan ialah peniaganya yang rata-rata terdiri daripada kaum wanita yang terkenal dengan minat berniaga.

Pasar ini mempunyai empat tingkat dan berbentuk segi lapan. Tingkat bawah dikhususkan untuk barangan basah seperti ikan, sayur-sayuran, ayam dan sebagainya.

Tingkat satu pula diperuntukan kepada makanan kering seperti serunding, iaitu sejenis makanan Kelantan yang sangat terkenal. Juga terdapat ayam percik, ikan percik, nasi kerabu, nasi berlaut, nasi dagang, laksam dan somtam merupakan antara makanan yang paling tersohor bagi rakyat negeri Kelantan.

Kuih tradisional Kelantan seperti tahi itik, akok, jala mas, buah tanjung, serabe, tepung pelita dan pelbagai lagi kuih lain yang juga dijual di sini.Manakala tingkat 2 dan 3, untuk barangan bukan makanan. Setiap pagi ia merupakan nadi penggerak utama aktiviti perniagaan bandar Kota Bharu. Yang paling menarik ialah sebahagian besar dari peniaga di pasar ini terdiri dari kaum wanita kelantan sesuai dengan namanya. Pasar Besar Siti Khadijah, nama asalnya Pasar Buluh Kubu.

Nama Siti Khadijah diambil bersempena nama isteri Nabi Muhammad SAW yang juga merupakan seorang peniaga wanita yang berjaya. Gabungan warna-warni, aroma dan suasana hingar-bingar mengambarkan kepelbagaian barangan yang diniagakan. Berbagai jenis barangan ada dijual diantaranya makanan, sayur-sayuran, ikan, ayam, pakaian, rempah-ratus, barangan kraftangan tembaga dan perak dan banyak lagi.

Pasar ini beroperasi seawal jam 6.00 pagi hingga 7.00 petang. Semua peniaga akan menghentikan segala urusan jual beli setelah masuk waktu sembahyang selama 15 minit. Ini bagi membolehkan semua pengunjung dan peniaga menunaikan solat.

Wakaf Che Yeh

Wakaf Che Yeh adalah sebuah pasar malam terbuka yang terletak kira-kira 4km di luar bandar Kota Bharu. Mempunyai keluasan suku ekar, ia adalah tempat untuk membeli makanan ringan tempatan, buah-buahan dan sayur-sayuran segar serta makanan laut. Terdapat juga deretan warung peniaga yang menjual aneka pakaian lelaki dan juga pakaian wanita.

Wakaf Che Yeh beroperasi sepanjang masa dengan fungsi yang berbeza-beza ia merupakan pasar borong di waktu pagi, pasarbasah diwaktu siang dan berubah menjadi pasar malam pula setelah matahari terbenam. Saksikanlah situasi tawar-menawar dan teriakan peniaga-peniaga mempromosikan barangan jualan mereka sembil berbual mesra sesame sendiri.


Pasar Gok Kapor

Nama Pasar Gok Kapor diambil sempena kegiatan pembuatan kapur di kawasan berkenaan dari dahulu dan masih wujud sehingga sekarang.

Pasar Gok Kapor dahulunya terletak dihadapan lorong masuk ke Kampung Gok Kapor yang menuju ke sungai di mana terdapatnya pengkalan pengakutan sungai yang membawa penumpang ke seberang iaitu Kg. Palekbang dan Kg. Laut.

Terletak 2 km dari bandar Kota Bharu dan keistimewaan Pasar Gok Kapor kerana makan laut serta ikan segar boleh didapati di sini dengan harga yang berpatutan serta kuih muih tradisional yang enak

Gerai Jagung

Gerai jagung terletak di Kampung Redang menghala ke Pantai Cahaya Bulan dan jaraknya dari Kota Bharu 3.5 Kilometer.

Jualan Jagung rebus wujud sejak beberapa tahun yang lalu dan penjualan jagung hanya ditemui di Kelantan  dimana bilangannya antara 10 hingga 14 gerai.

Keunikan jagung rebus di sini ialah jagungnya direbus menggunakan kayu api dan dapat ditemui pada bila-bila masa sahaja walaupun bukan musim jagung dengan harga yang berpatutan  bersesuaian dengan kualiti jagung yang dijual